img
WAKAF KHAS PERALATAN SARINGAN AUDIOLOGI
1.24%
Semasa: RM 2,250.00
Sasaran: RM 182,000.00

LATAR BELAKANG

  1. Masalah pendengaran telah dikenal pasti sebagai masalah kesihatan kronik ketiga paling banyak dilaporkan yang melibatkan individu berumur 60 tahun ke atas. Kajian kami mendapati 75% warga emas dalam komuniti di Selangor mengalami masalah pendengaran (Mukari et al 2016). Namun, hanya 4% daripada mereka yang mempunyai alat bantu dengar. Selain itu, kajian kami turut mendapati bahawa kebanyakkan mereka tidak mendapatkan pemeriksaan audiologi di klinik atau hospital (Ishak et al, 2017). Percubaan untuk mengurangkan kos ujian pendengaran dengan menggunakan soal selidik didapati tidak berjaya dilakukan kerana hanya 56% daripada warga emas yang mengalami masalah pendengaran tersebut yang melaporkan bahawa mereka mempunyai masalah tersebut (Ishak et al., 2017).

  2. Masalah pendengaran tidak terhad kepada golongan warga emas sahaja. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO, 2022) menganggarkan bahawa hampir 1.1 bilion golongan muda dan kanak-kanak berisiko tinggi untuk mendapat masalah pendengaran akibat bunyi bising rentetan daripada kemajuan teknologi dan peningkatan populariti peranti muzik mudah alih. Pendedahan terhadap bunyi bising boleh menyebabkan kesan buruk terhadap prestasi akademik walaupun kehilangan pendengaran itu mungkin hanya pada tahap ringan.

  3. Sejak penubuhannya pada tahun 1997, Program Audiologi dan Klinik Audiologi, Fakulti Sains Kesihatan UKM yang terletak di Jalan Temerloh, Kuala Lumpur, telah menjadi sebagai pusat rujukan utama bagi masalah pendengaran pesakit tanpa mengira had umur, serta tempat latihan klinikal pelajar program Sarjanamuda Audiologi (dengan Kepujian) UKM. Sehingga kini Klinik Audiologi & Sains Pertuturan telah mempunyai lebih kurang 11,500 pesakit di mana lebih dari 50 peratus pesakit yang hadir berasal dari sekitar Lembah Klang.

  4. Bagi memudahkan masyarakat yang mengalami kesukaran mendapatkan perkhidmatan klinikal, Program Audiologi sering menganjurkan aktiviti saringan pendengaran. Aktiviti saringan pendengaran ini akan menjadi lebih efektif dan efisyen kerana Program Audiologi telah mendapat dana daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAWIP) untuk membeli van audiometri bergerak. Van ini berfungsi sebagai satu klinik bergerak yang dapat memberi khidmat audiologi yang lebih baik lagi pada masyarakat, terutamanya kepada mereka yang sukar mendapatkan khidmat ini di klinik atau hospital. Walaubagaimanapun peralatan saringan audiologi yang sedia ada telah usang dan sebahagiannya telah tidak dapat digunakan lagi. Bagi mengumpul dana ini, pihak Program Audiologi berhasrat untuk menubuhkan Tabung Amanah Saringan Audiologi bagi memudahkan pengumpulan dana tersebut untuk membolehkan perkhidmatan saringan audiologi secara bergerak kepada komuniti yang memerlukan dapat dilaksanakan.

  5. Oleh yang demikian, penubuhan wakaf khas Peralatan Saringan Audiologi ini diharap dapat membantu Program Audiologi Fakulti Sains Kesihatan untuk membeli peralatan saringan audiologi bagi menggantikan peralatan yang telah usang dan tidak berfungsi serta melengkapi van bergerak yang telah disumbangkan oleh MAWIP.

 

OBJEKTIF

  1. Memungut dan menguruskan penerimaan wakaf dalam bentuk wang tunai daripada pewakaf yang dikumpulkan di dalam tabung amanah peralatan saringan Audiologi.

  2. Menggunakan dana wakaf untuk pembelian/pendanaan peralatan saringan audiologi.

 

CADANGAN

  1. Wakaf Khas ini diwujudkan bagi membantu PTj untuk pembelian/pendanaan peralatan saringan audiologi.

  2. Projek Wakaf ini dicadangkan untuk dilaksanakan selama  dua (2) tahun . Cadangan pembelian/pendanaan peralatan saringan audiologi adalah seperti berikut:

Bil.

Perkara

Anggaran Kos (RM)

1.

GSI tympanometer (226Hz + Ipsi reflex)

26,000

2.

GSI audiometer model AudioStar Pro ( mempunyai Quick SIN & BKB-SIN test)

65,000

3.

Module Bisyllabic Malay Speech Audiometry (Interacoustics: untuk masuk dalam affinity compact)

5,000

4.

Handheld Hearing Screener (Interacoustics PA5), able to screen hearing at 0.5, 1, 2, 3 and 4k Hz between 20 to 80 dB HL, with a 10 dB step. X 2 unit

18,000

5.

Equipment for ear toilet

1,400

6.

GSI Otoacoustic Emissions

50,000

7.

Airec Balance Pad X 2 unit

1,600

8.

Pediatric vital monitoring

2,000

9.

Preamplifier Titan IMP440 (Preamplifier1055)

13,000

 

JUMLAH

182,000

 

3. Peralatan saringan audiologi yang disenaraikan ini adalah bersifat mudah alih. Peralatan yang dipilih ini bukan sahaja sesuai untuk saringan audiologi, peralatan ini juga boleh digunakan bagi tujuan penilaian diagnostik dan penyelidikan. Peralatan yang pelbagai kegunaan ini dijangka lebih menjimatkan (cost-effective).

4. Golongan utama yang menjadi sasaran projek wakaf ini adalah alumni, industri dan masyarakat.

 

MANFAAT

  1. Penubuhan Wakaf Khas ini secara khususnya akan memberikan manfaat kepada semua golongan masyarakat terutamanya pelajar sekolah, penduduk miskin bandar dan luar bandar yang sukar mendapatkan perkhidmatan audiologi.
  2. Manfaat daripada penubuhan wakaf khas ini adalah untuk pembelian/pendanaan alat saringan audiologi bagi tiga (3) tujuan utama iaitu:

    i. Pengesanan Awal Kehilangan Pendengaran: Untuk memudahkan pengecaman awal kehilangan pendengaran pada kanak-kanak dan orang dewasa bagi membolehkan intervensi yang tepat pada masanya dan berkesan.

    ii. Jangkauan Komuniti: Untuk memanjangkan perkhidmatan audiologi kepada penduduk yang kurang mendapat perkhidmatan, termasuk kanak-kanak sekolah dan penduduk kawasan kurang bernasib baik di Kuala Lumpur dan Selangor sejajar dengan mempromosikan akses yang sama terhadap penjagaan kesihatan pendengaran.

    iii. Kemajuan Pendidikan dan Penyelidikan: Untuk menyokong latihan pendidikan praktikal dan penyelidikan pelajar audiologi serta melengkapkan mereka dengan pengalaman langsung dalam menggunakan alat pemeriksaan terkini.

  3. Pengesanan awal masalah pendengaran boleh meningkatkan komunikas, integrasi sosial, pencapaian akademik, dan pembangunan kognitif yang lebih baik, di samping menyediakan penjimatan kos yang ketara dan meningkatkan kualiti hidup untuk individu dan keluarga mereka. Oleh itu, pelaburan dalam pengesanan awal dan program intervensi adalah penting untuk meningkatkan komuniti yang lebih sihat dan inklusif.

 

Justeru itu, pihak Fakulti Sains Kesihatan ingin mengajak semua warga UKM, Alumni dan rakan-rakan untuk sama-sama berwakaf bagi menjayakan hasrat murni ini disamping peluang merebut pahala yang telah dijanjikan. 

Pemakluman: Jumlah sumbangan pada Sistem Give2UKM dikemas kini setiap 7 hari.
 

Paparan terbaik menggunakan Google Chrome dengan resolusi melebihi 1920 x 1080. Sekiranya ingin membetulkan resolusi anda, sila tekan ctrl + plus (+) atau minus (-).