
WAKAF KHAS MESIN X-RAY PUSAT KESIHATAN UNIVERSITI
PENGENALAN
Pusat Kesihatan Universiti telah dilengkapi oleh mesin radiografi am sinar-X (X-ray) seawal tahun 1997. Mesin ini digunakan untuk menjalankan prosedur diagnostik am sinar-X bagi memudahkan rawatan perubatan yang berkesan dapat diberikan kepada semua pelajar dan kakitangan Universiti Kebangsaan Malaysia.
Walau bagaimanapun, mesin sinar-X ini telah digunakan hampir 23 tahun dan merupakan sebuah mesin sinar-X yang ketinggalan daripada segi aspek spesifikasi keperluan perubatan dan ketahanan penjagaan mesin tersebut berbanding mesin sinar-X yang baharu digunakan meluas pada masa kini yang lebih canggih, moden, serta menepati keperluan dalam aspek perubatan moden yang diterapkan di Pusat Kesihatan Universiti.
TUJUAN
Pembelian mesin radiografi am sinar-X (X-ray) digital yang baharu bertujuan untuk naik taraf mengikut justifikasi keperluan perubatan demi meningkatkan lagi mutu perkhidmatan yang berkualiti di Pusat Kesihatan Universiti.
OBJEKTIF
- Meningkatkan lagi mutu perkhidmatan radiografi am sinar-X di Pusat Kesihatan Universiti seiring dengan keperluan kemudahan perubatan moden pada era 2020.
- Memudahkan pengendalian mesin sinar-X yang baharu dan canggih oleh Juru Sinar-X (X-ray) di Pusat Kesihatan Universiti disamping mengurangkan ralat kerosakkan imej sinar-X yang dihasilkan dan seterusnya mengurangkan risiko pendedahan sinar-X berulangkali kepada pesakit yang terdiri daripada kalangan pelajar dan kakitangan Universiti Kebangsaan Malaysia.
- Meningkatkan lagi ketepatan dan kejituan diagnosa yang dibuat oleh Pegawai Perubatan daripada penghasilan imej sinar-X yang berkualiti dan jelas.
- Meningkatkan lagi jumlah wang penjanaan di Pusat Kesihatan Universiti dengan menyediakan perkhidmatan sinar-X yang moden dan berkualiti kepada pelanggan yang ingin melakukan pemeriksaan kesihatan asas yang merangkumi pelajar baharu tanggungan kakitangan, dan orang awam.
BELANJAWAN
- Mesin Radiografi Am Sinar-X (X-ray)
Kos anggaran pembelian mesin radiografi am sinar-X yang baharu bermula dianggarkan sebanyak RM1,500,000.00 termasuk kos pengubahsuaian bilik sinar-X di Pusat Kesihatan Universiti bagi menampung kapasiti fungsi dan ruang mesin sinar-X yang baharu.
- Kos Pengubahsuaian Bilik Sinar-X
Kos ini juga perlu diambil kira kerana untuk memastikan mesin sinar-X yang baharu dapat menjalankan fungsi yang sempurna bagi menghasilkan imej sinar-X yang berkualiti dan jelas. Kos pengubahsuaian ini akan ditafsirkan oleh pihak syarikat tersebut mengikut jenis model mesin sinar-X yang akan dibeli oleh Pusat Kesihatan Universiti.
PENUTUP
Sehingga kini perkhidmatan X-ray di Pusat Kesihatan Universiti tergendala oleh sebab mesin yang sedia ada telah mengalami kerosakan dan sedang dibaikpulih. Oleh yang demikian pihak PKU amat berharap agar mesin X-ray baharu dapat disediakan demi memberi manfaat perkhidmatan kepada seluruh warga UKM.
Paparan terbaik menggunakan Google Chrome dengan resolusi melebihi 1920 x 1080. Sekiranya ingin membetulkan resolusi anda, sila tekan ctrl + plus (+) atau minus (-).