Yayasan Canselor, Aras 4, Bangunan Canselori , Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 Bangi, Selangor
PENGENALAN
Menjadi salah sebuah Fakulti dan Universiti terkemuka di dunia sememangnya menjadi idaman setiap institusi pendidikan. Namun begitu, untuk menjadi sebuah universiti mahupun fakulti yang berprestij bukanlah suatu perkara yang mudah. Bermacam-macam usaha dari pelbagai pihak diperlukan bagi mencapai sasaran tersebut. Begitu juga Fakulti Undang-Undang UKM dalam mengekalkan kedudukannya dalam senarai Fakulti Undang-Undang kedua terbaik di seluruh Malaysia dan tersenarai 201-250 dalam kedudukan QS World University Ranking berdasarkan subjek iaitu “Law and Legal Studies” bukanlah suatu usaha yang mudah. Namun begitu, kerjasama dan hasil usaha dari semua pihak yang terlibat seperti pihak pengurusan, kakitangan akademik, kakitangan profesional dan pelaksana serta pelajar fakulti sendiri memainkan peranan yang penting dalam bersama-sama meningkatkan keterserlahan fakulti di mata dunia. Selari dengan imej fakulti yang berprestij, Fakulti Undang-Undang terus berusaha dalam mempertingkatkan bukan sahaja kualiti pengajaran dan pembelajaran undang-undang di fakulti, namun amat menitikberatkan kebajikan dan keperluan pelajar-pelajarnya.
KENYATAAN PERMASALAHAN
Susulan pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak awal tahun 2020 telah memberi impak yang sangat besar terhadap gaya hidup rakyat serta sistem pendidikan di seluruh Malaysia antaranya adalah penekanan akan isu kesihatan serta perubahan dalam medium pengajaran dan pembelajaran bagi penyesuaian kepada amalan norma baharu seperti pembelajaran dan pengajaran dalam talian yang telah dijalankan sepanjang tempoh kawalan pergerakan dilaksanakan oleh kerajaan. Perubahan yang mendadak ini sedikit sebanyak memberi kesan akan kebajikan pelajar terutamanya mereka yang tidak berkemampuan iaitu mereka yang tergolong dalam golongan isi rumah berpendapatan rendah serta golongan yang pendapatannya terkesan akibat dari Perintah Kawalan Pergerakan. Ini kerana, pembelajaran dalam talian memerlukan sesebuah isi rumah untuk memperuntukkan sebahagian daripada pendapatan mereka bagi tujuan perbelanjaan peralatan pembelajaran dalam talian yang agak tinggi seperti pembelian komputer riba atau telefon pintar serta talian internet yang baik bagi melancarkan urusan pembelajaran dalam talian. Selain itu, pengawalan penyakit berjangkit dan bantuan kewangan perubatan juga adalah perkara yang harus dititikberatkan oleh fakulti bagi memastikan kebajikan dan keselamatan pelajar semasa di kampus. Pihak fakulti melihat ianya sebagai suatu kekurangan yang boleh ditambah baik dan dibantu oleh pihak fakulti bagi menjaga keperluan dan kebajikan para pelajar FUU, UKM terutamanya pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan dalam memenuhi keperluan semasa bagi mengelakkan daripada pembelajaran mereka terganggu dan terencat sekaligus memberi kesan terhadap kualiti pelajar yang dihasilkan oleh fakulti.
RASIONAL PENUBUHAN TABUNG
Pejabat Timbalan Dekan Jaringan dan Alumni telah menyenaraikan beberapa cadangan tambah baik kebajikan pelajar yang akan dijalankan melalui dana yang diperoleh dari tabung ini:
Biasiswa
i. Biasiswa Pelajar Pendapatan Rendah
ii. Biasiswa Pelajar Cemerlang
Kebajikan
i. Kelengkapan alat bantu belajar
ii. Wang saku
iii. Khairat Kematian
iv. Perubatan
v. Diskaun Yuran Alumni
Biasiswa adalah salah satu inisiatif fakulti dalam mempertingkatkan kebajikan pelajar. Alat bantuan kewangan ini dilihat dapat membantu pelajar yang berpotensi untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang namun atas faktor-faktor tertentu seperti kekangan kewangan telah menyebabkan mereka tidak dapat melanjutkan pelajaran. Pihak fakulti merasakan ianya suatu kerugian kepada fakulti sekiranya golongan ini tidak diberi peluang yang sama seperti pelajar lain untuk mengejar cita-cita mereka. Selain itu, biasiswa ini juga bertujuan untuk meningkatkan mutu dan kualiti pelajar undang-undang di fakulti di mana antara kriteria yang ditetapkan untuk memperoleh biasiswa ini pastinya tinggi memandangkan persaingan pelajar kini adalah sangat sengit. Pastinya inisiatif sebegini mampu untuk melahirkan graduan undang-undang tanah air yang bermutu tinggi seterusnya meningkatkan imej fakulti dan universiti di mata dunia.
Kelengkapan alat bantu belajar seperti komputer riba boleh dikatakan sebagai salah satu keperluan kepada pelajar-pelajar kini. Pasca COVID-19 melihatkan kepada masyarakat bahawa penggunaan alat digital atau gajet pada masa ini bukan sahaja melibatkan orang dewasa, akan tetapi turut digunakan oleh kanak-kanak dan remaja. Ini kerana, ketika negara menghadapi pandemik COVID-19, ia telah mengakibatkan perubahan yang besar dalam sistem pendidikan antaranya adalah pembelajaran dan pengajaran dalam talian. Perbelanjaan terhadap alat bantuan belajar ini sememangnya memakan kos yang tinggi dan tidak semua golongan masyarakat mampu untuk memilikinya. Atas dasar ini, pihak fakulti merasakan ianya penting untuk pihak fakulti turut membantu membantu bagi mempertingkatkan kebajikan pelajar agar tidak ada pelajar yang terjejas atau ketinggalan akibat dari kekurangan yang dihadapi sekaligus mengurangkan kesusahan dan kekangan yang dihadapi oleh pelajar dalam meneruskan pembelajaran mereka di universiti.
Selain dari kelengkapan alat bantu belajar bagi golongan pelajar yang berpendapatan rendah, insiatif lain bagi golongan kurang berkemampuan adalah pemberian wang saku. Ada antara pelajar yang terpaksa mengikat perut dan menahan lapar kerana kekurangan wang selama tempoh pembelajaran mereka di kampus. Ada juga yang terpaksa membuat kerja sambilan untuk mendapatkan duit poket bagi kegunaan harian.Pastinya ia sedikit sebanyak memberi kesan akan kualiti pembelajaran mereka seperti kurang fokus kerana keletihan bekerja atau kelaparan dan sebagainya. Atas faktor ini, fakulti berpendapat pemberian wang saku ini adalah wajar bagi golongan yang benar-benar memerlukan bagi kelangsungan dan kualiti hidup yang lebih baik.
Bantuan perubatan dan pemberian khairat kematian juga antara bantuan lain yang dicadangkan dalam menambah baik kebajikan pelajar. Melihatkan keadaan kini negara dalam menangani isu kesihatan yang melanda seluruh dunia ketika ini, pastinya aspek kesihatan dan perubatan adalah amat penting dan dititikberatkan oleh semua pihak. Ini juga tidak terkecuali bagi pelajar-pelajar Fakulti Undang-Undang. Antara inisiatif kebajikan yang ingin dilaksanakan oleh fakulti adalah bantuan kewangan bagi perubatan pelajar yang kurang berkemampuan dan khairat kematian. Usaha ini sedikit sebanyak diharapkan dapat membantu meringankan beban pelajar-pelajar yang terlibat dan terkesan akibat dari bencana/kecelakaan yang berlaku.
Akhir sekali adalah diskaun yuran alumni. Diskaun yuran pembelajaran ini difokuskan kepada alumni-alumni Fakulti Undang-Undang atau ahli keluarga mereka (tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak pengurusan fakulti) yang ingin melanjutkan pelajaran di Fakulti Undang-Undang, UKM. Inisiatif ini sedikit sebanyak sebagai tanda penghargaan fakulti kepada alumni akan sumbangan dan kerjasama mereka dalam meningkatkan keterserlahan fakulti dan universiti di peringkat dalam dan luar negara. Pastinya diharapkan hubungan baik antara alumni dan fakulti ini sentiasa dikekalkan dari satu generasi ke generasi yang lain.
Antara rasional penubuhan tabung ini kepada fakulti secara ringkas adalah:
1. Meningkatkan kebajikan pelajar dengan melihat kepada keperluan dan kekurangan pelajar yang terkesan akibat dari pandemik COVID-19
2. Menambah baik kebajikan pelajar agar pelajar dapat meneruskan pengajian dengan selesa dan lancar.
3. Kebajikan yang terpelihara dapat meningkatkan mutu dan kualiti pembelajaran pelajar.
4. Memberi peluang kepada pelajar yang tidak berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di peringkat pengajian tinggi
5. Melahirkan graduan yang berdaya saing serta kualiti pendidikan yang baik.
6. Memantapkan hubungan baik antara alumni-fakulti.
PERANCANGAN KEWANGAN/SASARAN JUMLAH SUMBANGAN
Berikut merupakan sasaran jumlah sumbangan berdasarkan anggaran kos tambah baik kebajikan pelajar Fakulti Undang-Undang:
Anggaran Kos Biasiswa dan Kebajikan Pelajar
a. Biasiswa - RM500,000.00
b. Kelengkapan alat bantu belajar - RM30,000,00
c. Wang Saku, Khairat Kematian dan Perubatan - RM400,000.00
d. Diskaun Yuran Alumni - RM70,000.00
JUMLAH KESELURUHAN SASARAN - RM1,000,000.00
Tempat: UKM Bangi