Tabung Pengajaran dan Pembelajaran Fakulti Undang Undang (AKU305)

PENGENALAN

Usia 37 tahun telah mematangkan Fakulti Undang-Undang dalam pelbagai aspek. Antara ukuran kejayaan FUU sehingga kini adalah melalui program pengajiannya yang diiktiraf dan memenuhi kehendak zaman dan keperluan industri dan masyarakat. Sepanjang kewujudan Fakulti Undang-Undang UKM, Anugerah DiRaja telah dianugerahkan kepada pelajar FUU UKM sebanyak 10 kali. Pelajar undang-undang, UKM sangat terkenal dengan kebolehan yang pelbagai, mempunyai keyakinan diri yang tinggi, kemahiran berbahasa Inggeris dan Melayu yang baik serta daya kepimpinan yang tinggi. Fakulti Undang-Undang UKM telah tersenarai sebagai fakulti undang-undang kedua terbaik di Malaysia selepas Universiti Malaya. FUU UKM juga telah tersenarai dalam senarai 201-250 dalam QS World University Ranking berdasarkan subjek “Law and Legal Studies”. Selari dengan imej fakulti yang berprestij, Fakulti Undang-Undang terus komited dalam usaha mempertingkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran undang-undang bagi membentuk dan melahirkan graduan undang-undang yang berkualiti tinggi.

 

KENYATAAN PERMASALAHAN

Umum mengetahui, susulan pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak tahun 2020 telah memberi impak yang sangat besar terhadap sistem pendidikan di seluruh Malaysia. Pelbagai inisiatif telah dijalankan bagi menggantikan pengajaran bersemuka dalam usaha penyesuaian kepada norma baharu. Ini sedikit sebanyak telah memperlihatkan kepada fakulti akan pengajaran dan pembelajaran yang boleh ditambah baik dari semasa ke semasa yang mana bukan sahaja melihat dari perspektif penyesuaian kepada norma baharu dan pasca COVID-19, akan tetapi turut melihat kepada relevan dan pengukuhan sistem pengajaran dan pembelajaran undang-undang kini seiring dengan perkembangan teknologi yang bergerak pantas. Pelbagai medium baru telah diperkenalkan bagi menggantikan pembelajaran secara tradisional. Perkembangan aplikasi-aplikasi yang dapat membantu pembelajaran dan pengajaran dalam talian seperti Zoom, Google Meet, Google Classroom, Quizizz memberi gambaran bahawa sistem pendidikan kini telah mengalami revolusi atau perubahan bagi penyesuaian kepada keperluan dan kekangan semasa. Meskipun kesan daripada pandemik ini dilihat mendatangkan banyak kekangan kepada pelbagai pihak, namun begitu, pejabat TDJA melihat ianya juga merupakan suatu peluang bagi meningkatkan penjanaan fakulti. Ini berdasarkan kepada permintaan-permintaan yang diterima oleh fakulti dalam menawarkan lebih banyak kursus dan bengkel dalam talian yang bersesuaian dan menepati keperluan masa kini. Oleh itu, penambahbaikan dalam pengajaran dan pembelajaran adalah penting bukan sahaja bagi meningkatkan kualiti pembelajaran dan pengajaran malah turut menyumbang kepada peningkatan penjanaan fakulti.

 

RASIONAL PENUBUHAN TABUNG

Pejabat Timbalan Dekan Jaringan dan Alumni telah menyenaraikan beberapa cadangan tambah baik pengajaran dan pembelajaran yang akan dijalankan melalui dana yang diperoleh dari tabung ini:

Tambah baik pengajaran dan pembelajaran:

a. Pembelian perisian terkini

b. Pembangunan dan Penambahbaikan Kemahiran Kakitangan Akademik

c. Tambah baik bahan bantu mengajar

d. Penghargaan pensyarah

 

Pembelian perisian terkini dan aplikasi berbayar seperti OpenLearning.com adalah sangat penting dalam memastikan sistem pengajaran dan pembelajaran kekal dijalankan dalam apa jua keadaan. Tidak hanya menumpukan pembelajaran secara fizikal atau tradisional, pendedahan akan pelbagai inisiatif dan medium lain bagi menggantikan pengajaran dan pembelajaran secara fizikal sebagai contoh pembelajaran virtual atau maya adalah penting bertepatan dengan keadaan negara yang tidak menentu dan bagi persediaan menghadapi apa sahaja kemungkinan yang boleh berlaku. Selain itu, kemudahan atau mobiliti ini juga mampu menyumbang kepada penjanaan di mana membuka lebih banyak ruang bagi fakulti untuk membangunkan modul pelajaran dan pembelajaran yang bervariasi dan memenuhi permintaan masyarakat kini.

 

Pembangunan dan penambahbaikan kemahiran kakitangan akademik melalui latihan/bengkel atau kursus kemahiran kakitangan akademik adalah antara perkara yang perlu dititikberatkan bagi mendapatkan produktiviti dan kualiti pengajaran yang tinggi. Kemahiran bagi setiap pekerja adalah berbeza dan ianya perlu digilap dari semasa ke semasa. Sebagai contoh kemahiran penggunaan komputer atau perisian bagi seseorang adalah berbeza. Pembangunan modal insan adalah amat penting dalam melahirkan pengajar yang berwibawa dan bermutu tinggi. Ini kerana, kepesatan arus teknologi menyebabkan manusia perlu melengkapkan diri dengan kemahiran atau skil yang mantap bagi kekal relevan dan berdaya saing dalam pasaran. Justeru itu, kursus-kursus kemahiran adalah sangat wajar dijalankan bagi mempersiapkan kakitangan akademik lebih dinamik, bergerak selari dengan perubahan teknologi agar tidak ketinggalan atau masih di takuk yang sama.

 

Tambah baik bahan bantu mengajar iaitu kelengkapan fasiliti seperti bilik komputer bagi kegunaan pengajaran dan pembelajaran juga dilihat penting dalam perubahan sistem pendidikan negara kini. Kelengkapan atau perkakasan digital kini dianggap sebagai satu keperluan bagi setiap individu. Namun begitu, tidak dapat dinafikan, tidak kesemua individu mampu untuk memilikinya. Pihak fakulti melihat akan kekurangan ini sebagai salah satu peluang bagi fakulti untuk mengambil inisiatif dalam penyediaan bahan bantu belajar iaitu seperti tambah baik kelengkapan komputer, perkakasan dan perisian. Pendedahan akan penggunaan alat ini secara tidak langsung mampu meningkatkan kemahiran dan skil pengajar dan pelajar dalam menggunakan alat digital.

 

Tidak dinafikan, penghargaan sedikit sebanyak memberi impak atau kesan kepada seseorang. Pelajar yang menerima penghargaan atas kecemerlangannya, pekerja menerima penghargaan atas usahanya, begitu juga guru-guru, tenaga pengajar yang telah melimpahkan tenaga baktinya demi masa depan generasi muda. Begitulah murninya tugas seorang guru atau individu yang digelar pengajar. Penghargaan yang diberikan walaupun kecil akan tetapi mampu memberi impak yang besar kepada penerimanya. Antara kesan yang boleh dilihat adalah peningkatan dalam mutu dan produktiviti kerja, pembangunan tenaga kerja serta peningkatan kepuasan pekerja. Kesan ini dianggap sangat luar biasa kerana mampu meningkatkan semangat dan potensi seseorang dalam pekerjaanya.Ini seterusya akan meningkatkan semangat kesetiaan yang kuat kepada organisasi atau tempat mereka bekerja. Justeru itu, pihak Fakulti Undang-Undang merasakan penghargaan adalah salah satu elemen penting yang perlu diterapkan dalam pelaksanaan sistem pengurusan modal insan yang baik. Penghargaan ini bahkan memberi peluang dan ruang kepada para pelajar/alumni dalam menzahirkan penghargaan mereka terhadap sumbangan guru-guru/tenaga pengajar yang telah membantu membentuk mereka yang sekarang.

 

Antara kepentingan penubuhan tabung ini kepada fakulti secara ringkas adalah:

1. Meningkatkan skil dan kemahiran kakitangan akademik (pensyarah) melalui latihan kursus kemahiran seperti kursus kemahiran menjalankan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian (e-learning), literasi komputer dan sebagainya. Keupayaan dan kompetensi mengendalikan penggunaan aplikasi/peranti mudah alih selari dengan kepesatan teknologi memberikan kelebihan kepada pelajar dan pensyarah/guru untuk mengubah medium pembelajaran dan pengajaran dengan mudah agar kualiti pengajaran dan pembelajaran tidak terjejas dalam apa jua keadaan.

2. Menambah baik medium pengajaran dan pembelajaran dalam talian seperti tambah baik perisian atau aplikasi yang bersesuaian dengan kaedah PdP secara dalam talian. Sebagai contoh, penggunaan pelantar berbayar Open Learning bagi pembelajaran dalam talian yang mudah dicapai dan mesra pengguna.

3. Meningkatkan mutu dan kualiti pembelajaran yang lebih relevan dengan keperluan masa kini. Bermula dengan pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia dan telah mengubah sistem pendidikan negara, kini lebih banyak inisiatif yang telah dijalankan bagi menyesuaikan dengan norma baharu dan sebagai persediaan di masa akan datang agar sistem pembelajaran dan pengajaran di FUU kekal relevan dan dapat disesuaikan dalam apa jua keadaan.

4. Meningkatkan penjanaan fakulti menerusi peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran serta produk-produk pembelajaran yang lebih memenuhi permintaan masa kini.

 

PERANCANGAN KEWANGAN/SASARAN JUMLAH SUMBANGAN

Berikut merupakan sasaran sumbangan mengikut anggaran kos tambah baik bagi pengajaran dan pembelajaran di Fakulti Undang-Undang, UKM;

Anggaran Kos Tambah Baik Pengajaran dan Pembelajaran Fakulti Undang-Undang

a. Pembelian perisian terkini - RM10,000.00

b. Latihan/Bengkel/Kursus Kemahiran Kakitangan Akademik - RM50,000.00

c. Tambah baik bahan bantu mengajar - RM250,000.00

d. Penghargaan pensyarah - RM50,000.00

JUMLAH KESELURUHAN SASARAN - RM360,000.00

Info Tabung Sumbangan

Tempat: UKM Bangi



0.027777777777778

RAISED : RM 100.00

GOAL : RM 360,000.00